Menyamar pembantu peribadi Menteri KPDN perdaya orang ramai

LocalPolitics
8 May 2026 • 10:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Menyamar pembantu peribadi Menteri KPDN perdaya orang ramai
Laporan polis dibuat di Balai Polis Papar.

KOTA KINABALU - Satu laporan polis dibuat pejabat Parlimen Papar susulan pihak tidak bertanggungjawab didapati menyamar sebagai pembantu peribadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali untuk tujuan penipuan.

Difahamkan, laporan polis dibuat oleh pegawai Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, di Balai Polis Papar, pada Khamis.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Facebook Pejabat YB Armizan Ahli Parlimen Papar memaklumkan bahawa terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar dan mengaku sebagai PA atau mewakili pihak Datuk Armizan Mohd Ali bagi tujuan penipuan (scam).

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang mesej, panggilan atau permintaan yang mencurigakan, terutamanya yang melibatkan sebarang transaksi wang, bantuan, sumbangan atau urusan peribadi.

"Segala urusan kerja rasmi berkaitan hanya dibuat secara bertulis melalui surat-menyurat oleh Pejabat Parlimen Papar atau Pejabat Menteri KPDN serta melalui pegawai yang dipertanggungjawabkan sahaja," jelasnya dalam hantaran tersebut.

Berhubung perkara itu, satu laporan polis dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat.

"Sekiranya menerima mesej atau panggilan yang meragukan, sila abaikan dan laporkan kepada pihak berkuasa serta merta.

"Mohon jasa baik semua untuk turut menyebarkan peringatan ini agar lebih ramai tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.