Begini Wajah Laman Web Baru AirBorneo, Harga Tambang Bermula Bawah RM100

10 Dec 2025 • 11:58 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

Harga Permulaan yang Memuaskan

Begini Wajah Laman Web Baru AirBorneo, Harga Tambang Bermula Bawah RM100. Hari ini, 10 Disember 2025, menandakan satu lagi detik bersejarah buat industri penerbangan di Borneo, khususnya Sarawak.

Hari ini segalanya menjadi nyata. AirBorneo secara rasminya melancarkan laman web mereka hari ini, menandakan bermulanya era baharu pengangkutan udara yang lebih “lokal” dan lebih mampu milik.

image is not available
Begini Wajah Laman Web Baru AirBorneo, Harga Tambang Bermula Bawah RM100. Wajah laman utama AirBorneo

Pelancaran ini membawa nafas baharu kepada perkhidmatan udara luar bandar dan wilayah yang selama ini menjadi nadi pengangkutan di Sabah dan Sarawak.

Harga penerbangan dilihat bermula pada harga bawah RM100

Meninjau ke ruangan tempahan, penerbangan paling murah adalah sekitar RM73 iaitu untuk penerbangan dari Ba’kelalan ke Lawas.

image is not available
Penerbangan dari Ba’kelalan ke Lawas serendah RM73

Manakala untuk penerbangan sehala dari Kuching ke Limbang, Mukah, Mulu dan Tanjung Manis, harga permulaan tambang adalah antara RM121 hingga RM314.

image is not available
Penerbangan dari Kuching ke Tanjung Manis (RAS Basic) berharga RM121
image is not available
Penerbangan dari Kuching ke Mulu (Economy Basic) berharga RM290

Untuk Sarawak, AirBorneo akan memulakan penerbangan sulung dari/ke Kuching, Bintulu, Miri, Limbang, Lawas, Mukah, Mulu, Tanjung Manis, Long Akah, Long Banga, Long Lellang, Long Seridan, dan Marudi.

AirBorneo juga akan beroperasi di Sabah melalui Kota Kinabalu, Labuan, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.

Tetapi sebelum anda terburu-buru menekan butang “Book Now”, ada beberapa perkara teknikal penting yang anda perlu tahu mengenai fasa peralihan tiket dari MASwings ke AirBorneo ini.

Masih MASwings atau AirBorneo, Teliti Tarikh Terbang Anda

Peralihan sistem tiket ini mungkin agak mengelirukan bagi sesetengah orang, jadi kami permudahkan untuk anda.

Berdasarkan pengumuman rasmi yang dikeluarkan, walaupun laman web AirBorneo sudah “live” hari ini, pembelian tiket dibahagikan mengikut tarikh perjalanan anda.

Ini panduan mudah untuk anda (Bermula 10 Disember 2025):

1. Jika anda terbang SEBELUM 14 Januari 2026:

  • Anda masih perlu membeli tiket menerusi laman web MASwings yang sedia ada.
  • Ini terpakai untuk semua perjalanan sehingga tarikh 13 Januari 2026.

2. Jika anda terbang PADA atau SELEPAS 14 Januari 2026:

  • Anda kini boleh membeli tiket terus di laman web baharu: www.airborneo.com.
  • Ini adalah tarikh rasmi di mana operasi tiket beralih sepenuhnya ke platform AirBorneo.

Jadi, jangan panik jika anda tidak menjumpai tarikh awal Januari di laman web baharu AirBorneo, semak semula di laman MASwings.

Sentuhan Budaya Borneo dan Penerbangan Antarabangsa

Selain menjanjikan ketersambungan yang lebih baik, syarikat penerbangan ini meletakkan budaya Borneo sebagai tunjang utama jenama mereka.

Dari segi reka bentuk laman web, warna utamanya adalah emas, dan memiliki layout yang masih asas selain ruangan tempahan seperti laman web syarikat penerbangan yang lazimnya kita lihat.

Dari semasa ke semasa, penumpang dijangka akan merasai hospitaliti sebenar Borneo, membawa identiti Sarawak dan Sabah ke angkasa raya.

Berita yang paling dinanti-nantikan tentulah mengenai penerbangan antarabangsa.

Menurut sumber, AirBorneo tidak hanya mahu menjadi ‘jaguh kampung’. Pesawat pertama untuk laluan antarabangsa dijangka akan berlepas pada pertengahan tahun 2026, dimulakan dengan laluan Kuching ke Singapura.

Langkah ini dilihat bakal merancakkan lagi sektor pelancongan dan perniagaan di antara Sarawak dan negara jiran, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada hab penerbangan di Kuala Lumpur.

Pusat Panggilan AirBorneo

Bagi mereka yang lebih ingin berurusan secara terus atau mempunyai masalah tempahan, AirBorneo juga telah mengaktifkan pusat panggilan mereka bermula hari ini.

  • Panggilan Tempatan (Bebas Tol): 1-300-22-1388
  • Panggilan Antarabangsa: +6082-537 555

Dengan pelancaran ini, kita berharap AirBorneo dapat menyelesaikan isu-isu legasi penerbangan di Borneo seperti harga tiket yang mahal pada musim perayaan dan kekerapan penerbangan yang terhad.

Tempahan tiket penerbangan boleh dibuat di https://airborneo.com/

Baca juga artikel berkenaan logo AirBorneo:

AirBorneo Akhirnya Umum Logo Rasmi Yang Bernama Wings of Unity
AirBorneo Fokus Harga Tiket Mampu Milik Dan Berpatutan Buat Rakyat