
PETALING JAYA: Bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru yang terjejas akibat kebakaran di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kangkar Tebrau, semalam, berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 77 minit.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan memaklumkan, kebakaran berlaku pada pukul 6.03 petang semalam menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan termasuk Bandar Dato Onn, Taman Daya, Kempas, Bandar Ulu Tiram, Desa Tebrau dan Johor Jaya.
Susulan kejadian itu, TNB menggerakkan pasukan teknikal bagi melaksanakan usaha pemulihan bekalan elektrik secara berperingkat.
“Hasil tindakan pantas pasukan teknikal, bekalan elektrik di kawasan terjejas berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 77 minit.
“TNB memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna susulan gangguan bekalan elektrik berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
TNB turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pengguna yang terjejas atas kesabaran serta kerjasama diberikan sepanjang proses pemulihan bekalan elektrik.
Menurutnya, dalam kejadian sama, dua warga kerja teknikal TNB yang berada di lokasi ketika kejadian mengalami kecederaan.
Jelasnya, kedua-duanya kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Keluarga kedua-dua warga kerja yang cedera telah dimaklumkan mengenai kejadian dan kini berada bersama mereka.
“Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan terperinci oleh pasukan teknikal TNB dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.
Menurutnya, TNB juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
“Sebarang pertanyaan atau permintaan maklumat lanjut boleh disalurkan kepada TNB CareLine di talian 15454,” katanya.- UTUSAN
The post Bekalan elektrik terjejas akibat kebakaran di Johor Bahru pulih sepenuhnya appeared first on Utusan Malaysia.






