
PETALING JAYA – Bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru yang terjejas akibat kebakaran di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kangkar Tebrau petang semalam berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 77 minit.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan memaklumkan, kebakaran berlaku pada pukul 6.03 petang itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan termasuk Bandar Dato Onn, Taman Daya, Kempas, Bandar Ulu Tiram, Desa Tebrau dan Johor Jaya.
Menurut kenyataan itu, pasukan teknikal TNB segera digerakkan bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan bekalan secara berperingkat sehingga bekalan kembali pulih sepenuhnya.
Bagaimanapun, dua warga kerja teknikal TNB yang berada di lokasi ketika kejadian mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
“Kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil, manakala keluarga mereka telah dimaklumkan mengenai kejadian dan berada bersama mereka,”kata kenyataan itu.
Tambah TNB, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan terperinci pihaknya dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“TNB turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna serta merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama mereka sepanjang proses pemulihan bekalan elektrik.
“Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi TNB CareLine menerusi talian 15454.– KOSMO! ONLINE
The post TNB berjaya pulihkan bekalan elektrik di Johor Bahru dalam tempoh 77 minit appeared first on Kosmo Online.






