Bekalan gula di Perak terkawal, mencukupi: Exco

23 May 2023 • 12:31 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Bekalan gula di Perak terkawal dan mencukupi untuk keperluan penduduk tanpa sebarang kenaikan harga, kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, Woo Kah Leong.

Woo berkata dari Januari hingga semalam, hampir 30,000 pemeriksaan telah dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di seluruh negeri dengan sebanyak lima aduan telah diselesaikan berkenaan bekalan dan harga gula.

Katanya KPDN Perak juga tidak pernah menerima aduan berkenaan gula yang dijual dengan harga gula premium iaitu RM4.80 sekilogram.

“Tiada aduan berkenaan dengan gula premium yang kononnya dijual pada harga RM4.80 seperti yang dikatakan oleh ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kamunting (Mohd Fakhrudin Abdul Aziz) semalam di dalam sidang DUN.

“Oleh itu saya pun ingin menyeru kepada masyarakat sekiranya mendapati ada pihak peniaga ataupun orang yang menjual gula kononnya pada harga gula premium RM4.80, sila laporkan insiden ini kepada KPDN,“ katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan Mohd Fakhrudin bahawa harga gula akan naik ke RM4.80 sekilogram apabila gula premium itu yang bukan barang kawalan dibawa masuk ke dalam negara, ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023, semalam.

Gula adalah barangan terkawal di bawah Aka Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang dikuatkuasakan KPDN iaitu harga borong gula bertapis kasar pada harga siling RM2.77 sekilogram dan gula bertapis halus RM2.85 sekilogram, manakala harga runcit gula bertapis kasar ialah RM2.85 sekilogram serta gula bertapis halus RM2.95 sekilogram. -Bernama