
IPOH - Bekalan gula di Perak terkawal dan mencukupi keperluan penduduk tanpa sebarang kenaikan harga, kata Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, Woo Kah Leong.
Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas hampir 30,000 premis mendapati, harga gula masih kekal pada kadar runcit ditetapkan iaitu gula bertapis kasar RM2.85 sekilogram dan RM2.95 gula halus.
"Kerajaan negeri beri jaminan harga gula tidak akan dinaikkan dengan bekalannya kekal cukup di pasaran.
"Sekiranya ada kawasan terjejas seperti kekurangan atau tiada bekalan, kita mohon salurkan maklumat dan buat aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail.
Kah Leong berkata, dari Januari sehingga semalam, hanya lima aduan diterima masing-masing empat membabitkan kenaikan harga gula di Manjung dan Taiping manakala satu berkaitan bekalan tidak mencukupi di Pengkalan Hulu.
Katanya, semua aduan itu telah diselesaikan dan diambil tindakan termasuk mengenakan kompaun RM500 terhadap peniaga terlibat.
"Daripada aduan itu, kita dapati harga gula dijual sehingga RM3.20 sekilogram, begitupun tindakan telah dikenakan kepada peniaga.
"Bagi isu bekalan pula, berlaku disebabkan kelewatan kerana di kawasan sana (Pengkalan Hulu) bekalannya diterima dari Kedah," katanya.
Mengulas dakwaan penjualan gula premium RM4.80 di Taiping seperti dibangkitkan Mohd Fakhrudin Abdul Aziz (PN-Kamunting) semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Hotel Perak 2023 pada Isnin, Kah Leong berkata perkara itu tidak benar.
"Selepas disemak, tiada penjualan gula premium di Perak setakat ini," katanya.

