
SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan bekalan keperluan asas, khasnya gula dan minyak masak, di daerah ini mencukupi menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sandakan Azdy Zukkry John mengesahkan perkara demikian selepas melakukan pemeriksaan di beberapa pemborong utama di Sandakan, termasuk di pasar raya tumpuan utama pengguna.
“Hasil pemeriksaan mendapati bekalan stok semasa gula di lima pemborong utama di Sandakan adalah sebanyak 154.848 tan metrik.
“Bekalan gula sebanyak 224 tan lagi dijangka tiba di Sandakan pada 15 Mac (Sabtu) ini,” katanya pada Jumaat.
Beliau bersama pasukan penguatkuasanya turut meninjau salah sebuah pasar raya tumpuan utama pengguna di Sandakan dan mendapati barang kawalan iaitu minyak masak mudah diperolehi dan tiada pembelian panik.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat peningkatan pembelian bagi dua bahan asas utama ini sepanjang bulan Ramadan ini.
Justeru, beliau juga menasihati pengguna agar tidak membuat pembelian pukal dan panik bagi memberi hak sama rata kepada pengguna lain.
Sementara itu, beliau menyarankan orang awam yang ingin membuat sebarang aduan dan pertanyaan untuk menghubungi KPDN Sandakan melalui, e-aduan.kpdn.gov.my, 089668107 (KPDN Sandakan), atau WhatsApp ke 019-848 8000 (Aduan Pengguna).



