PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan negara berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun ini walaupun ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat terus menjadi perhatian.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kedudukan bekalan makanan kerana keadaan semasa masih stabil.
"Keadaan beras, daging ayam, telur, ikan, daging lembu, kerbau, susu segar, sayur, buah-buahan semuanya cukup sekurang-kurangnya sampai bulan lima dan enam yang akan datang,” katanya di sidang akhbar sempena Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, di sini pada Jumat.
Menurut beliau, kebanyakan sumber import makanan Malaysia tidak melalui laluan konflik utama di Asia Barat.
“Untuk pengetahuan semua, import makanan kita kurang melalui Selat Hormuz itu. Banyak terlibat dengan India, Pakistan, ASEAN, Brazil, Argentina, New Zealand dan Australia, semuanya berada di sebelah sini,” katanya.
Mohamad turut memaklumkan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk meningkatkan stok simpanan beras bagi memastikan bekalan makanan terus terjamin.
“Beras pula sebab kabinet dah setuju kita tambah bekalan sampai ke sembilan bulan yang akan datang, ianya mencukupi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kementerian akan mempergiatkan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat terus mendapat bekalan makanan pada harga berpatutan.
Antara langkah tersebut termasuk memperluaskan program Jualan Agro Madani serta Jualan Rahmah yang menawarkan barangan makanan pada harga lebih rendah sehingga 30 peratus berbanding pasaran.
“Sekurang-kurang daripada pasaran biasa ia dapat turun daripada 10 hingga 30 peratus,” katanya.
Selain itu, kementerian turut memberi tumpuan kepada pengukuhan program komuniti yang membantu menambah bekalan makanan kepada masyarakat.
Mohamad berkata, ketika ini kira-kira 5,000 komuniti Madani sedang dilaksanakan di seluruh negara dan jumlah tersebut akan dipertingkat sekiranya perlu.
“Kita akan mempergiatkan dan kalau perlu, kita sambung lagi supaya dapat menambahkan bekalan makanan terutama sekali ke dalam masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihatkan rakyat supaya tidak berasa cemas mengenai kedudukan bekalan makanan negara dan terus menjalani kehidupan seperti biasa.
“Buat masa ini tidak perlu kita berasa cemas apa-apa... sambutlah Hari Raya ini dengan biasa, insya-ALLAH makanan semuanya cukup dan terjamin bekalannya,” tambah Mohamad.


