Isu Palestin bukan hanya milik umat Islam – Mohamad Sabu

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 4:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamad Sabu (tengah) ketika berucap pada Perhimpunan Hari Al‑Quds Sedunia 2026 di perkarangan Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Isu Palestin bukan sekadar masalah umat Islam semata-mata, sebaliknya merupakan isu kemanusiaan sejagat yang mendapat perhatian masyarakat dunia.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rakyat di beberapa negara Eropah termasuk di London, United Kingdom, turut mengadakan demonstrasi secara berterusan bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Menurutnya yang merupakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, demonstrasi itu bukan sahaja disertai umat Islam, malah turut melibatkan masyarakat bukan Islam yang prihatin terhadap isu kemanusiaan di Palestin.

“Masalah Palestin ada dua perkara utama iaitu berkaitan Masjid Al‑Aqsa dan isu kemanusiaan,” ujarnya ketika berucap pada Perhimpunan Hari Al‑Quds Sedunia 2026 di perkarangan Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, di sini pada Jumaat.

Turut kelihatan dalam perhimpunan anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan itu ialah Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Hadir sama, Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil, Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tekanan rakyat di negara Eropah menyebabkan beberapa kerajaan di rantau itu mengambil langkah mengutuk tindakan Israel serta memboikot penjualan senjata kepada negara berkenaan.

Beliau turut mendakwa beribu-ribu individu pernah ditangkap di London kerana menyertai demonstrasi bagi memperjuangkan pembebasan Palestin.

"Tindakan masyarakat antarabangsa itu menunjukkan bahawa isu melibatkan Israel dan Zionis bukan hanya berkaitan agama, tetapi menyentuh nilai kemanusiaan sejagat," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Israel yang menunjukkan keangkuhan sejak tahun 1948 kini berdepan cabaran baharu apabila beberapa negara Islam mula membangunkan keupayaan teknologi pertahanan moden.

Menurutnya, perkembangan teknologi peperangan seperti penggunaan dron, peluru berpandu dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi sebahagian daripada bentuk peperangan moden.

"Walaupun berdepan sekatan selama lebih 40 tahun, negara seperti Iran terus menjalankan penyelidikan sehingga mampu membangunkan teknologi pertahanan sendiri," ujarnya.

Mohamad berkata, keadaan itu membolehkan Iran bertindak balas terhadap serangan yang didakwa dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Beliau turut memuji pendirian Malaysia yang menurutnya tegas mengutuk serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran melalui usul yang dibentangkan di Parlimen.

Selain Malaysia, jelasnya, beberapa negara lain seperti Sepanyol, Rusia dan China juga dilaporkan mengutuk tindakan berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau turut mempersoalkan sikap sebahagian negara Arab yang menurutnya berdepan tekanan kerana kewujudan pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara masing-masing.