Bekas Ahli Dewan Negara, Roslan Awang Chik meninggal dunia

LocalPolitics
21 Aug 2024 • 10:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Allahyarham Roslan meninggal dunia pada 2.51 pagi Rabu di HSNZ akibat strok. Foto FB Datuk Razali Idris

KUALA TERENGGANU - Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Roslan Awang Chik meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat strok, pada awal pagi tadi.

Anak lelakinya, Fadhlan Roslan, 44, berkata, Allahyarham Roslan, 73, meninggal dunia pada 2.51 pagi tadi di sisi beberapa ahli keluarga.

Beliau berkata, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediaman mereka di Batu Buruk, di sini untuk disolatkan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim selepas zohor.

"Arwah juga menghidap kanser limfoma sejak dua tahun lalu dan menjalani rawatan kimoterapi di HSNZ," katanya ketika dihubungi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak.

Roslan pernah menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang selama satu penggal dari 1995 hingga 1999, dan juga dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bermula 2004 hingga 2010.

Selain itu, Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu. - Bernama