
KUALA LUMPUR - Bekas ahli politik MIC, Awtar Singh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din selepas membuat tuduhan palsu mendakwa suruhanjaya berkenaan gagal mengambil tindakan ke atas kegiatan scammer.
Dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun TikTok @awtarsinghpuchong10 hari ini, bekas Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) itu mengakui dakwaannya adalah tidak berasas, tidak adil dan tidak tepat sama sekali, dibuat tanpa memahami fakta sebenar.
Awtar berkata, dakwaan yang dibuat menerusi TikTok pada 17 April itu, yang turut meminta Salim meletakkan jawatan, bukan sahaja mencemar nama baik malah menggugat kepercayaan awam terhadap MCMC.
Meskipun terdapat tuduhan palsu itu, suruhanjaya berkenaan bagaimanapun tidak meminta TikTok menurunkan video asal tersebut.
“Saya ingin merakam permohonan maaf secara khusus kepada Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan keluarga beliau serta semua pegawai dan kakitangan MCMC yang telah terkesan secara langsung dan tidak langsung akibat kenyataan saya yang tidak berasas itu.
“Saya akui kenyataan-kenyatan itu telah mencemar nama baik, menggugat kepercayaan awam dan menjejaskan reputasi Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din selaku pengerusi MCMC serta institusi MCMC itu sendiri.
“Khususnya dakwaan pengerusi MCMC gagal mengambil tindakan ke atas kegiatan scammer yang menggunakan telefon bimbit yang tidak berdaftar, tanpa diselia adalah tidak berasas dan tidak adil dan tidak tepat sama sekali, dibuat tanpa memahami fakta sebenar.
Awtar menambah, MCMC telah mengambil banyak tindakan ke atas kegiatan scammer selain turut menahan serta membuat pendakwaan di mahkamah.
“Saya kesal dengan kenyataan saya yang dibuat dalam video TikTok itu dan memberi aku janji tidak akan memuatnaik, menyiarkan atau menerbit apa apa kenyataan atau kandungan serupa atau menyentuh isu sama, sama ada secara jelas atau tersurat terhadap MCMC dan Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din,’’ katanya. - 10 September, 2025
The post Bekas ahli MIC, Awtar Singh mohon maaf pada pengerusi MCMC atas tuduhan tidak berasas mengenai scammer appeared first on Scoop.
