Bekas 'akak cleaner' kini bangga bergelar pensyarah universiti, buktikan kerja keras membuahkan hasil — 'Kali pertama datang KL hanya ada RM20'

4 Sep 2026 • 6:10 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Bekas 'akak cleaner' kini bangga bergelar pensyarah universiti, buktikan kerja keras membuahkan hasil — 'Kali pertama datang KL hanya ada RM20'

SIAPA sangka, wanita yang suatu ketika dahulu saban hari mengusung penyedut hampagas dan memegang mop pembersih kini berdiri bangga di hadapan dewan kuliah sebagai pensyarah kanan di universiti tersohor negara.

Begitulah kisah inspirasi Dr Asmaa Akmal yang membuktikan bahawa latar belakang pekerjaan tidak pernah menjadi penghalang untuk seseorang melebarkan sayap kejayaan.

Di sebalik gelaran dan pencapaian akademik yang diraih hari ini, tersimpan duka dan perjuangan selama enam tahun yang penuh liku.

Menerusi satu perkongsian di platform Threads, Asmaa meluahkan rasa syukurnya selepas kisah hidupnya menarik perhatian ramai.

Perjalanannya bermula apabila beliau berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 2018 sejurus tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda, walhal ketika itu akaun banknya hanya berbaki RM20.

Bagi kelangsungan hidup dan dalam masa sama mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, wanita tersebut memilih untuk bekerja sebagai pembantu pembersihan atau janitor.

“Sebelum saya jadi pensyarah kanan, saya bekerja sebagai janitor atau dengan lebih senang dikenali sebagai akak cleaner yang usung vacuum setiap hari.

"Enam tahun saya kerja ni sambil sambung belajar. Kita akan boleh berjaya jika kita berusaha sebaik-baiknya,” kongsinya.

Sepanjang tempoh berkenaan, rutin harian beliau diisi dengan pembahagian masa yang amat padat antara mencari rezeki dan menuntut ilmu.

Meniti usia muda dengan pengorbanan yang bukan sedikit, air mata sering kali menjadi saksi bisu ketabahannya menempuh ujian kehidupan.

Image from: Bekas 'akak cleaner' kini bangga bergelar pensyarah universiti, buktikan kerja keras membuahkan hasil — 'Kali pertama datang KL hanya ada RM20'

“Terlalu banyak air mata tumpah sepanjang perjalanan ini, tapi saya tahu ALLAH itu Maha Mendengar. Kali pertama saya datang bekerja di KL pada tahun 2018 selepas tamat ijazah, akaun bank saya hanya ada RM20.

"Masa muda banyak dihabiskan dengan cari duit dan belajar. Kerja keras tidak akan mengkhianati kita,” ujarnya.

Segala penat lelah dan ketekunannya akhirnya membuah hasil manis apabila beliau diserap sebagai pensyarah tetap di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) pada usia 30 tahun.

Tempoh satu tahun 10 bulan berkhidmat secara kontrak akhirnya membuka jalan untuknya mencapai impian yang disemat sejak sekian lama.

“Saya bergelar pensyarah tetap pada umur 30 tahun. Alhamdulillah, cukup satu tahun 10 bulan sebelum diserap menjadi pensyarah tetap di Universiti Malaya. Terima kasih Universiti Malaya dan Akademi Pengajian Melayu atas peluang yang diberikan.

"Terima kasih kepada kawan-kawan yang selalu mendoakan dan menyokong saya. I turned ‘maybe someday’ into ‘watch me now’,” ungkapnya lagi.

Image from: Bekas 'akak cleaner' kini bangga bergelar pensyarah universiti, buktikan kerja keras membuahkan hasil — 'Kali pertama datang KL hanya ada RM20'

Lebih menarik, kejayaan bergelar pensyarah kanan tidak pernah membuatkan dirinya lupa diri atau malu dengan asal usulnya.

Beliau yang kini sudah mempunyai perniagaan perkhidmatan pembersihan sendiri masih melakukan kerja-kerja berkenaan secara sambilan jika ada kelapangan.

“Saya masih buat part time cleaner sebab dah ada syarikat sendiri. Sekarang suami sahaja yang banyak uruskan syarikat itu,” tambahnya.

Kisah perjalanan wanita hebat ini menjadi pendorong semangat buat masyarakat di luar sana bahawa bermula dari bawah bukannya satu kekurangan.

Pengalaman menjadi ‘akak cleaner’ selama enam tahun membuktikan bahawa usaha gigih dan tekad yang kuat berserta doa tidak akan pernah mensia-siakan impian seseorang.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved