Bekas CEO 1MDB nafi buat perjanjian dengan mendiang Sri Ram untuk beri keterangan memihak kepada 1MDB

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 10:06 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Bekas CEO 1MDB nafi buat perjanjian dengan mendiang Sri Ram untuk beri keterangan memihak kepada 1MDB

Bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral menafikan membuat sebarang perjanjian dengan mendiang Gopal Sri Ram untuk memberi keterangan dalam saman sivil USD5.64 bilion.

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau telah membuat perjanjian dengan Datuk Seri Gopal Sri Ram (kini mendiang) untuk memberi keterangan memihak kepada syarikat itu.

Shahrol Azral berkata Sri Ram, yang ketika itu bertindak sebagai pendakwa raya utama dalam perbicaraan kes jenayah membabitkan 1MDB, tidak menawarkan sebarang insentif kepada beliau untuk berbuat demikian sebagai pertukaran bagi menggugurkan namanya daripada saman itu.

Saksi keempat plaintif berusia 56 tahun dalam kes saman 1MDB menuntut ganti rugi USD5.64 bilion itu berkata demikian semasa disoal balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, defendan pertama dalam sama tersebut.

Muhammad Shafee: Adakah Sri Ram pernah menemu bual anda? Shahrol Azral: Ya.

Muhammad Shafee: Adakah anda pernah makan tengah hari bersama-sama? Shahrol Azral: Ya, sekali.

Muhammad Shafee: Adakah anda membuat sebarang perjanjian dengan Sri Ram? Shahrol Azral: Tidak.

Shahrol Azral juga berkata beliau tidak pernah bertanya kepada Sri Ram mengapa beliau perlu memberi keterangan yang memihak kepada 1MDB sedangkan syarikat itu telah memfailkan saman terhadapnya.

Saksi itu berkata beliau tidak tahu mengapa 1MDB menggugurkan namanya daripada saman berkenaan.

Shahrol Azral bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan bahawa beliau selesa memberikan keterangan dalam perbicaraan jenayah itu kerana wujud aku janji di pihak pendakwaan, selain menjangkakan dirinya akan dilindungi daripada sebarang tindakan lanjut undang-undang.

Beliau juga tidak pernah memohon imuniti di bawah Seksyen 132 Akta Keterangan 1950 sebelum menjadi saksi dan menolak dakwaan bahawa dia memberi keterangan dengan harapan ia akan melindunginya daripada tindakan undang-undang di masa hadapan.

1MDB dan anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited serta Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) telah memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.

Mereka menamakan Najib, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo Ai Swan, Vincent Beng, bekas ketua pegawai kewangan Radhi Mohamad, Kelvin Tan serta bekas ketua pegawai pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.

Minggu lepas, 1MDB bersetuju menghentikan saman sivil terhadap Radhi tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula. Sebelum itu, 1MDB turut menggugurkan nama Jasmine daripada saman itu.

Writ saman itu antara lain mendakwa plaintif telah menuduh defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa dan berkonspirasi untuk menyeleweng dana 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus bersambung esok. 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved