
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif UBB Investment Bank Ltd (UBBIB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu membabitkan pembayaran RM139.89 juta, tahun lalu.
Tertuduh, Razlan Raghazli, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Razlan yang ketika itu CEO UBBIB didakwa telah menipu Pengarah Urusan dan CEO UBB Amanah Berhad, Aida Aizura Othman untuk mempercayai bahawa jadual pembayaran dalam surat UBBIB bertajuk Disbursement Advice on Islamic Property Financing Under Bai-Bithamin Ajil (BBA) bertarikh 18 September 2025 adalah selaras dan berdasarkan nasihat firma guaman Tetuan Kassim Tadin, Wai & Co.
Tertuduh didakwa mengetahui jadual pembayaran itu sebenarnya bercanggah dengan nasihat yang diberikan oleh firma guaman berkenaan dan menyebabkan Aida untuk melepaskan pembayaran wang berjumlah RM139,891,776 kepada ELMU Higher Education Sdn. Bhd.; tindakan yang tidak akan dilakukannya sekiranya tidak diperdayakan.
Perbuatan itu itu didakwa dilakukan di UBB Investment Bank Limited, Galeria Hartamas, Desa Sri Hartamas di sini, September 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hazel Tan mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dan memohon syarat tambahan supaya tertuduh dilarang berkomunikasi atau berjumpa mana-mana saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam bela, Azamudin Abd Aziz yang mewakili Razlan memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan anak guamnya tidak bekerja sejak Jun lalu.
Menurut peguam itu, Razlan mempunyai empat anak selain menanggung ibunya yang sakit dan jumlah jaminan RM100,000 adalah membebankan. Pihak pembelaan turut memberi jaminan tertuduh akan mematuhi syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Mahkamah membenarkan Razlan diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melarang beliau mengganggu atau berkomunikasi dengan mana-mana saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 12 Oktober ini bagi serahan dokumen.
Sementara itu, peguam Johan Mohan Abdullah yang hadir sebagai pemerhati bagi pihak UBB memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya media tidak menamakan institusi berkenaan dalam laporan berkaitan prosiding kes itu.
Menurutnya, laporan yang menamakan institusi kewangan berkenaan dikhuatiri boleh menjejaskan kestabilan kewangan selain mencetuskan panik dalam kalangan pendeposit.
Bagaimanapun, Hakim Azura menolak permohonan itu selepas mengambil kira nama UBB dinyatakan dalam pertuduhan selain menegaskan orang awam mempunyai hak untuk mengetahui.
“Dalam pertuduhan ada menyatakan UBB, jadi bagaimana kita hendak mengehadkan laporan media? Orang awam mempunyai hak untuk mengetahui. Tiada perkara sedemikian,” katanya. – UTUSAN
The post Bekas CEO bank didakwa menipu bayaran RM139.89 juta appeared first on Utusan Malaysia.





