Bekas CEO Suzuki Meninggal Dunia – Berkhidmat Sejak 1958, Ini Sumbangan Besar Osamu Suzuki...

WorldCars
31 Dec 2024 • 11:15 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Dunia automotif dikejutkan dengan berita pemergian Osamu Suzuki, bekas pemimpin Suzuki Motor Corporation (Suzuki), yang meninggal dunia pada Hari Krismas kerana penyakit limfoma pada usia 94 tahun. Berita ini disahkan oleh pihak syarikat pada minggu lalu.

Perjalanan Hidup Osamu Suzuki

image is not available

Dilahirkan sebagai Osamu Matsuda pada 30 Januari 1930, beliau mengahwini anak keluarga pengasas jenama terkenal dari Hamamatsu ini dan mengambil nama keluarga Suzuki, satu amalan yang biasa dilakukan dalam keluarga Jepun yang tiada pewaris lelaki.

Osamu Suzuki menyertai syarikat itu pada tahun 1958, memegang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dari tahun 1978 hingga 2001. Sepanjang tempoh tersebut beliau berjaya membawa Suzuki ke pentas antarabangsa, dan dalam masa yang sama, terkenal sebagai seorang pemimpin yang bijak menjimatkan kos.

Menyelamatkan Suzuki Daripada Krisis

Pada era 1970-an, Osamu berjaya menyelamatkan Suzuki daripada kejatuhan dengan mendapatkan kerjasama Toyota untuk membekalkan enjin yang mematuhi peraturan pelepasan yang lebih ketat ketika itu. Satu lagi kejayaan besar dicatatkan pada 1979 apabila beliau melancarkan model Alto, kereta kei yang popular di Jepun.

Kejayaan Global Dan Dominasi Pasaran India

Suzuki di bawah kepimpinan Osamu juga menjalin kerjasama dengan General Motors dan Volkswagen untuk mengembangkan pasarannya ke Amerika Utara dan Eropah. Selain itu, kepakaran Suzuki dalam pembuatan kereta kecil telah membantu jenama itu mendominasi pasaran India.

Peranan Selepas Bersara

Selepas berundur sebagai CEO dan presiden pada tahun 2001, Osamu terus memegang jawatan sebagai pengerusi sehingga 2021, yang juga bersamaan dengan ulang tahun ke-100 Suzuki. Selepas bersara, beliau berkhidmat sebagai penasihat kanan sehingga akhir hayatnya.

Pengaruh di Malaysia

image is not available

image is not availableimage is not available

Sebelum bersara, Osamu memainkan peranan penting dalam perjanjian perlesenan jangka pendek antara Suzuki dan Proton pada 2015, ketika Proton masih di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Hasil daripada kerjasama ini ialah Proton Ertiga, sebuah MPV tiga baris tempat duduk yang sebenarnya adalah model Suzuki yang diubah suai. Model itu dihentikan pengeluarannya pada 2019, sebelum Proton memulakan kerjasama dengan Geely.

Falsafah Kepimpinan

image is not available

Sepanjang tempoh perkhidmatannya yang panjang, Osamu mengamalkan falsafah “Jangan berhenti, jika tidak anda akan kalah.” Pemikiran ini dikongsikan dalam memoir Jepunnya pada 2009, di mana beliau juga mengakui dirinya sebagai "Bos Perniagaan Kecil" yang tegas dalam membuat keputusan.

Keluarga Yang Ditinggalkan

Osamu Suzuki meninggalkan isteri, Shoko Suzuki, dan tiga anak mereka, termasuk Toshihiro Suzuki, yang kini memegang jawatan sebagai pengerusi dan presiden Suzuki.