Bekas Eksekutif Samsung Ditangkap Kerana Meniriskan Teknologi Pembuatan Cip Ke China

TechnologyDigital
11 Sep 2024 • 4:12 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Industri pembuatan cip semikonduktor adalah sangat kompetitif, dengan negara-negara seperti Taiwan dan Korea memastikan bahawa rahsia-rahsia syarikat dianggap sebagai harta negara, dan rantau lain seperti Amerika dan Eropah kini sedang cuba untuk membangunkan bekalan mereka sendiri supaya tidak terlalu bergantung kepada satu atau dua sumber sahaja.

Baru-baru ini, ia telah dilaporkan bahawa dua orang bekas eksekutif Samsung telah ditahan oleh pihak polis Korea Selatan kerana disyaki menjual rahsia teknologi pembuatan cip memori syarikat tersebut dan telah membuka sebuah kilang di Chengdu, China.

Menurut laporan Bloomberg, ia disyaki bahawa salah satu individu tersebut, Encik Choi yang berumur 66 tahun telah meniriskan teknologi pembuatan memori 20nm bernilai $3.2 bilion ke China, dan membuka kilang yang dikatakan sebelum ini.

Rahsia teknologi ini sangat penting untuk Samsung kerana ia menjadikan mereka diantara pengeluar cip memori berkualiti tinggi yang digunakan untuk menguasakan bukan sahaja peranti-peranti pengguna, tetapi juga komputer-komputer berkuasa yang digunakan untuk tujuan pembelajaran mesin, kecerdasan buatan dan sebagainya. Selain daripada itu, Encik Choi ini juga dilaporkan telah cuba untuk memujuk jurutera-jurutera untuk menyertai kilangnya di China.

Dalam pada itu, seorang lagi subahat dalam jenayah ini ialah Encik Oh, yang merupakan seorang arkitek kilang yang juga dilaporkan telah membantu dalam pembukaan kilang di China tersebut.

Teknologi penbuatan cip semikonduktor seperti cip pemprosesan dan memori adalah sesuatu yang dikawal secara sangat ketat oleh kerajaan-kerajaan seperti Korea Selatan, Taiwan dan Jepun kerana ia dilihat sebagai satu “matawang” yang membantu dalam memastikan negara mereka kekal relevan dalam ekonomi moden ini.