Bekas hotel jadi calling centre, 4 lelaki Bangladesh dicekup

LocalGaming
25 Oct 2026 • 1:48 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas hotel jadi calling centre, 4 lelaki Bangladesh dicekup

SUNGAI PETANI – Sindiket penipuan permainan dalam talian yang menyasarkan warga Bangladesh tumpas selepas pusat panggilannya di sebuah premis bekas hotel di Taman Lagenda Indah, di sini diserbu polis Rabu lalu.

Serbuan kira-kira pukul 9.30 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, empat lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan dalam serbuan itu dengan setiap suspek dipercayai menerima upah sebanyak RM2,700 sebulan untuk menjalankan kegiatan tersebut.

Katanya, siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an hingga 50-an yang disyaki terbabit dalam urusan penyewaan premis berkenaan yang tidak lagi beroperasi sejak 2022.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai beroperasi sejak Jun lalu dengan menggunakan sebuah laman web dan aplikasi WhatsApp untuk berkomunikasi dengan pelanggan.

“Sindiket ini dipercayai mengendalikan urusan tambah nilai mata permainan dalam talian, manakala pengeluaran wang pelanggan ditangguhkan dengan status ‘pending withdrawal’ sehingga mereka tidak menerima wang yang dijanjikan,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kuala Muda, di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keterangan awal, kira-kira 17 akaun pelanggan sehari dipercayai berdepan masalah pengeluaran wang tertangguh, dengan anggaran kerugian RM2,000 sehari.

“Jumlah kerugian sebenar masih dalam proses pengesahan. Kita percaya sindiket ini menyasarkan antara 18 hingga 50 mangsa dari Bangladesh sehari,” ujarnya.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barangan dalam serbuan itu, termasuk 17 telefon bimbit, empat unit pemproses pusat (CPU), lapan monitor dan wang tunai berjumlah RM2,442.

Jelasnya, empat suspek warga Bangladesh direman selama empat hari, manakala dua lelaki tempatan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

“Keempat-empat warga asing ini mengemukakan salinan dokumen perjalanan masing-masing dan kita masih dalam proses pengesahan dengan Jabatan Imigresen. Berdasarkan dokumen berkenaan, seorang daripada mereka dipercayai sudah 12 tahun berada di negara ini,” katanya.

Tambahnya, polis turut menyiasat sama ada warga asing yang ditahan itu dipaksa atau secara sukarela bekerja dengan sindiket berkenaan.

“Kita juga sedang mengenal pasti dalang sindiket serta pihak lain yang terbabit. Kita turut mempertimbangkan siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 sekiranya terdapat unsur berkaitan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menipu dan pakatan jenayah. – KOSMO! ONLINE

The post Bekas hotel jadi calling centre, 4 lelaki Bangladesh dicekup appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved