
SHAH ALAM, 24 JUN: Bekas jurutera teknologi maklumat (IT) didenda RM18,000 oleh Mahkamah Majistret Besut hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menggunakan kad pengenalan milik individu lain.
Aman Rasid, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan kad pengenalan milik individu lain di sebuah stesen minyak di Alor Lintang pada jam 11.33 pagi, 1 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Aman didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah stesen minyak di Kampung Raja masing-masing pada jam 7.25 malam, 2 Jun dan jam 6.07 petang, 15 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan, lapor Berita Harian.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga pemilik sebenar kad pengenalan terbabit menyedari kuota bulanan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) miliknya digunakan tanpa kebenaran menerusi aplikasi TNG eWallet.
Siasatan mendapati pemilik sebenar kad pengenalan itu tidak mempunyai akaun TNG eWallet sebelum membuat laporan polis selepas mendapati identitinya digunakan individu tidak dikenali untuk urusan pembelian minyak tanpa pengetahuannya.
Ketika menjatuhkan hukuman, Nurliyana berkata tindakan tertuduh menyusahkan ramai pihak terutama pengadu selain menjejaskan penerima BUDI95 yang lain.
"Kamu menggunakan kad pengenalan orang lain untuk tujuan itu sebanyak tiga kali pada masa berbeza," katanya.
Nurliyana kemudiannya menetapkan denda RM6,000 atau enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Najah Azhar, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Fazilah Abd Rahim.




