
WASHINGTON: Pemegang rekod memandu laju dunia, Andy Green mencipta rekod baharu selepas memandu kenderaan berkuasa hidrogen mencecah kelajuan 653.9 kilometer sejam (km/j).
Bekas juruterbang jet pejuang Tentera Udara Diraja (RAF) United Kingdom (UK) memandu jentera Hydromax streamliner berkuasa 1,600 kuasa kuda milik syarikat JCB di kawasan dataran garam Bonneville Salt Flats, Utah.
Beliau mencipta rekod itu pada Selasa, dua minggu selepas meraikan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-64.
Pencapaian luar biasa itu disahkan secara rasmi oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sebagai kelajuan tertinggi yang pernah dicatatkan oleh sebuah kenderaan berkuasa hidrogen di dunia.
Pada kelajuan itu, jentera sepanjang 9.75 meter yang dikuasai dua enjin pembakaran hidrogen tersebut mampu merentasi jarak bersamaan dua padang bola sepak bersaiz penuh dalam masa satu saat sahaja.
“Ia satu pengalaman ajaib apabila dapat mempamerkan teknologi ini dan membuktikan kehebatan kejuruteraan di litar lumba terbaik di dunia,” kata Green.
Pencapaian terbaharu ini disifatkan sebagai pemangkin utama kepada pembangunan teknologi bahan api hidrogen untuk masa hadapan.
Green sebelum ini mencipta sejarah hampir 30 tahun lalu apabila menjadi satu-satunya manusia yang berjaya melepasi kelajuan bunyi di darat menerusi jentera Thrust. Dia mencatat kelajuan 1,227.985 km/j di Gurun Black Rock, Nevada pada 1997.
Green turut memegang rekod kelajuan darat jentera berkuasa diesel selepas mencatatkan 563.4 km/j di Bonneville. Ketika itu, dia memandu jentera Dieselmax milik JCB pada tahun 2006.
Dua dekad kemudian, beliau kembeli ke dataran garam itu apabila mencipta rekod kelajuan dengan menggunakan jentera yang menghasilkan sifar emisi ekzos.
Catatan terbaharu Green minggu ini memadamkan rekod kelajuan hidrogen terdahulu iaitu 298.5 km/j yang dicatatkan oleh jentera H2R milik BMW pada tahun 2004. – AGENSI
The post Bekas juruterbang cipta rekod pandu kereta hidrogen terlaju appeared first on Utusan Malaysia.

