
KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta rekod pemeriksaan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), susulan siasatan terhadap seorang juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan di Indonesia kerana cuba menyeludup dadah dianggarkan bernilai RM45 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia dan membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian kes berkenaan.
Menurut beliau, siasatan kini tertumpu kepada usaha mengenal pasti sumber bekalan dadah, individu dipercayai mengarahkan kegiatan tersebut serta kemungkinan kewujudan sindiket terancang yang menggunakan laluan penerbangan bagi menjalankan aktiviti penyeludupan.
“Kami akan menyiasat kemungkinan wujud rangkaian sindiket yang menggunakan penerbangan atau laluan udara untuk menyeludup dadah berkaitan kes ini.
“Suspek juga dilaporkan pernah melakukan kegiatan sama menggunakan modus operandi serupa sebelum ini. Justeru, rakaman CCTV di KLIA serta imej daripada pengimbas bagasi akan diteliti bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Hussein turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah menerima tawaran membawa barangan dengan imbuhan lumayan, kerana taktik sedemikian sering digunakan oleh sindiket dadah bagi memperdaya individu untuk dijadikan keldai dadah.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada agar tidak menjadi mangsa helah sindiket dan dipergunakan dalam kegiatan penyeludupan dadah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba membawa masuk 25 kilogram dadah ke negara itu.
Polis Republik Indonesia (POLRI) memaklumkan, pemeriksaan ke atas suspek menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi serta syabu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM45 juta berdasarkan harga pasaran di Indonesia.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima bayaran RM50,000 bagi membawa bekalan dadah itu dari Kuala Lumpur ke Jakarta, sebelum ia diserahkan kepada seorang individu lain di sebuah hotel.
Pihak berkuasa Indonesia turut mendakwa, suspek mengaku pernah melakukan penghantaran dadah sebelum ini melibatkan laluan Jakarta dan Sabah.
Siasatan kini diteruskan bagi membongkar rangkaian sindiket yang dipercayai beroperasi merentasi Malaysia dan Indonesia.
Sementara itu Malaysia Airlines memaklumkan, syarikat terbabit memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Indonesia selain turut memulakan siasatan dalaman susulan kejadian berkenaan.
Syarikat penerbangan itu turut menegaskan, mereka mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang salah laku, dengan aspek keselamatan, sekuriti dan integriti operasi kekal menjadi keutamaan.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, sebarang keputusan berhubung penggantungan atau pembatalan lesen juruterbang terbabit akan dipertimbangkan mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016, berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa berkaitan. - Getaran, 1 Ogos 2026





