Bekas Ketua Polis Negara, Acryl Sani dilantik sebagai Pengerusi PUNB berkuat kuasa 1 September 2023

1 Sep 2023 • 9:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bekas Ketua Polis Negara, Acryl Sani dilantik sebagai Pengerusi PUNB berkuat kuasa 1 September 2023

zulfadli

01/09/2023 - 09:11

KUALA LUMPUR 1 Sept - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mengumumkan pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Pengerusi PUNB berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan penyandang sebelum ini iaitu Datuk Ahmad Nazlan Idris yang melepaskan jawatan pengerusi pada 20 Disember 2022.

Acryl Sani adalah bekas Ketua Polis Negara ke-13 bermula 4 Mei 2021 hingga 22 Jun 2023. Ketika ini, beliau juga adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Timbalan Pengerusi Dagang NeXchange Bhd.


Ketika berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, Acryl pernah memegang pelbagai jawatan seperti Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2018-2020) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (2017), selain pernah menjadi Ketua Polis Negeri Perak pada 2013 serta Pesuruhjaya Polis Sarawak (2011-2013).

Beliau memiliki Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, ahli lembaga pengarah, pengurusan dan warga kerja PUNB menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Acryl dan mengalu-alukan kehadiran beliau di PUNB.

"Kami yakin dapat bekerjasama rapat dengan Acryl dan memanfaatkan pengalaman luas serta pandangan strategik beliau dalam pembangunan usahawan Bumiputera di negara ini," katanya. - DagangNews.com