
BANGKOK: Polis menahan bekas anggota Parlimen Thailand kerana disyaki menembak dan mencederakan seorang pegawai kerajaan tempatan serta pemandunya.
Serangan yang didakwa berlaku di wilayah Nonthaburi, utara Bangkok itu, berlaku beberapa hari selepas insiden tembakan di sebuah sekolah di kawasan sama yang mencetuskan persoalan mengenai kawalan senjata api di Thailand.
Ketua Polis Nonthaburi, Dejrapee Kongdee, berkata bekas Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Chalong Riewrang, ditahan dan dibawa ke balai polis.
“Kami sedang menyiasat motifnya. Kedua-dua mangsa yang ditembak sedang menerima rawatan di hospital,” katanya kepada AFP.
Seorang daripada mangsa, iaitu pengerusi pentadbiran kerajaan tempatan Nonthaburi, mengalami kecederaan parah, kata ketua polis berkenaan.
Mangsa kedua adalah pemandu pegawai berkenaan, namun beliau tidak memberikan butiran mengenai keadaannya.
Media tempatan melaporkan pertikaian peribadi mungkin menjadi punca kejadian tembakan itu, namun ketua polis berkenaan enggan mengulas perkara tersebut.
Chalong sebelum ini merupakan anggota parti pimpinan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.
Jumaat lalu, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menembak mati datuk dan nenek yang membesarkannya di Nonthaburi sebelum membunuh enam mangsa lain di sekolahnya dan kemudian menembak dirinya sendiri.
Thailand mempunyai antara kadar pemilikan senjata api tertinggi di rantau ini, dengan kira-kira 10 juta senjata api dianggarkan berada dalam edaran, iaitu kira-kira satu senjata bagi setiap tujuh penduduk.
Pihak berkuasa berjanji untuk memperketatkan undang-undang berkaitan senjata api susulan kejadian tembakan pada Jumaat lalu, namun janji serupa sebelum ini gagal menghalang kejadian tembakan berulang.- AFP
The post Bekas MP Thailand dituduh tembak pegawai, pemandu appeared first on Utusan Malaysia.



