
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk seorang bekas pegawai khas kepada seorang ahli Parlimen kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000.
Menurut sumber, rasuah tersebut sebagai balasan membantu meluluskan dana Projek Mesra Rakyat.
Kata sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 30-an itu ditahan pada Rabu, kira-kira jam 9.30 malam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
"Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2024 sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana Projek Mesra Rakyat bernilai kira-kira RM 1.5 juta, membabitkan pembekalan Interactive Smart Board kepada beberapa buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur.
**media[3035995]**
"Selain itu, siasatan juga akan menjurus kepada aspek pembekalan bagi mengesahkan penerimaan item mengikut kuantiti dan spesifikasi oleh sekolah-sekolah berkenaan,” katanya pada Jumaat.
Sinar Harian difahamkan perintah reman selama empat hari bermula Khamis sehingga Ahad dikenakan ke atas kedua-dua suspek.
Reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.

