Bekas pegawai khas ahli Parlimen ditahan minta suapan RM500,000

LocalPolitics
7 Mar 2025 • 5:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
SPRM menahan reman dua individu termasuk seorang bekas pegawai khas kepada seorang ahli Parlimen kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000.

image is not available
Dua individu termasuk seorang bekas Pegawai Khas kepada seorang Ahli Parlimen yang disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 ditahan SPRM dan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk seorang bekas pegawai khas kepada seorang ahli Parlimen kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000.

Menurut sumber, rasuah tersebut sebagai balasan membantu meluluskan dana Projek Mesra Rakyat.

Kata sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 30-an itu ditahan pada Rabu, kira-kira jam 9.30 malam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

"Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2024 sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana Projek Mesra Rakyat bernilai kira-kira RM 1.5 juta, membabitkan pembekalan Interactive Smart Board kepada beberapa buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur.

**media[3035995]**

"Selain itu, siasatan juga akan menjurus kepada aspek pembekalan bagi mengesahkan penerimaan item mengikut kuantiti dan spesifikasi oleh sekolah-sekolah berkenaan,” katanya pada Jumaat.

Sinar Harian difahamkan perintah reman selama empat hari bermula Khamis sehingga Ahad dikenakan ke atas kedua-dua suspek.

Reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.