Bekas peguam terkenal antara dua maut dalam kebakaran pejabat guaman

13 Apr 2026 • 5:46 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 13 APRIL: Bekas peguam terkenal, Datuk San Markan, antara dua individu ditemui maut dalam kebakaran di sebuah pejabat guaman di Lebuh King, di Georgetown, hari ini.

Petunjuk awal menunjukkan kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap tebal dalam kejadian tersebut.

San Markan, 88, yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya, difahamkan berada di pejabat bagi menyelesaikan beberapa urusan guaman.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Chandra Binwani Jiwatram, 60, yang bekerja sebagai kerani di premis berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata San Markan ditemui berhampiran tingkap dalam keadaan duduk di atas kerusi pada jam 1.05 tengah hari.

Katanya, Chandra pula ditemui berhampiran dinding di bawah timbunan fail pada jam 3.26 petang.

"Kedua-dua mangsa ditemui tidak jauh antara satu sama lain, namun berada di lokasi berasingan dalam premis tersebut," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurutnya, asap tebal dipercayai berpunca daripada jumlah fail kertas yang banyak disimpan di dalam bangunan itu.

"Kami percaya kematian adalah akibat terhidu asap, namun perkara ini akan disahkan oleh pihak forensik dan hospital," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved