Bekas Peguam Terkenal, Kerani Maut Dalam Kebakaran

13 Apr 2026 • 7:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bekas Peguam Terkenal, Kerani Maut Dalam Kebakaran

KUALA LUMPUR - Bekas peguam terkenal, Datuk San Markan adalah antara dua mangsa yang ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah pejabat guaman di Lebuh King, George Town hari ini.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas selepas terhidu asap tebal.

San Markan, yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-88, berada di premis berkenaan bagi menguruskan hal berkaitan perundangan ketika kejadian berlaku.

Mangsa kedua dikenal pasti sebagai Chandra Binwani Jiwatram, 60, yang bekerja sebagai kerani di pejabat sama.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, San Markan ditemukan terlebih dahulu pada kira-kira jam 1.05 tengah hari dalam keadaan duduk di atas kerusi berhampiran tingkap di dalam pejabat berkenaan.

“Mangsa kedua pula ditemukan pada jam 3.26 petang berhampiran dinding serta di bawah timbunan fail dalam premis sama," katanya. 

Menurutnya, kedua-dua mangsa ditemukan dalam unit pejabat yang sama namun di lokasi berasingan, meskipun tidak jauh antara satu sama lain.

Mohamad Shoki berkata, siasatan mendapati asap tebal di dalam bangunan berkemungkinan berpunca daripada jumlah fail kertas yang banyak disimpan di premis berkenaan, sekali gus dipercayai menyumbang kepada kematian mangsa.

“Kami percaya kematian berpunca akibat terhidu asap, namun perkara ini akan disahkan pihak forensik dan hospital,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital untuk bedah siasat sementara siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta keadaan sebenar kejadian.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mengarahkan siasatan penuh dijalankan berhubung insiden tersebut.

Firma guaman berkenaan beroperasi di sebuah lot pejabat pra-perang dua tingkat di sepanjang King Street, kawasan komersial dalam tapak Warisan Dunia George Town.

Jentera bomba dilaporkan berdepan kesesakan lalu lintas untuk ke lokasi kejadian, dan ketika tiba, kira-kira 70 peratus pejabat itu telah musnah dijilat api.

Melahirkan rasa sedih atas tragedi itu, Kon Yeow turut mengarahkan pegawai penyiasat bomba menyiasat bagaimana insiden terbabit boleh boleh berlaku. 

Beliau turut menggesa pemilik serta penyewa bangunan memastikan premis masing-masing tidak menjadi perangkap kebakaran dan sistem penyiram air automatik dipasang dengan sempurna.

Tegas beliau, semua bangunan komersial di negeri itu juga perlu mempunyai penandaan jelas bagi laluan kecemasan. – Getaran, 13 April 2026.