Bekas Pelajar Kumpul Duit, Hadiahkan Bas & Surau Baharu Untuk Sekolah Sempena Hari Guru

Entertainment
19 May 2025 • 11:21 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Demi menghargai segala jasa dan ilmu yang dicurahkan para guru, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) telah menghadiahkan sebuah bas dan surau baharu.

Bas baharu bernilai RM670,000 itu disumbangkan oleh Persatuan Bekas Pelajar Sekolah SESMA (My SESMA) dan diserahkan oleh Presidennya, Datuk Mohd Zuber Embong kepada Pengetua SESMA, Hayati A Rahman dalam satu majlis sempena sambutan Hari Guru di sekolah itu.

Mohd Zuber yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata, pembelian bas itu adalah hasil kutipan dana selama 22 bulan, bermula Februari 2023.

Difahamkan, pihaknya berjaya mengumpul sumbangan RM2 juta daripada orang ramai dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam tempoh 22 bulan.

“Cadangan awal jawatankuasa My SESMA melancarkan kutipan derma termasuk menganjurkan malam gala adalah untuk pembinaan surau baharu yang boleh menampung kira-kira 250 jemaah,” katanya.

image is not available image is not available

Beliau menambah pihaknya menerima permohonan daripada pengurusan sekolah untuk pembelian sebuah bas baharu yang kemudian diluluskan My SESMA sebelum tempahan dibuat Februari lalu.

“Walaupun sebahagian daripada dana digunakan untuk membeli bas, projek pembinaan surau baharu tidak terjejas. Surau baharu sekolah dijangka dapat digunakan sepenuhnya Ogos depan.

“Bas baharu dan surau adalah hadiah istimewa daripada My SESMA kepada pihak sekolah sempena sambutan Hari Guru 2025,” katanya lagi.

Bertuah buat para guru SESMA. Berjaya melahirkan pelajar hebat yang tak pernah lupa jasa guru!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.