GEORGE TOWN - Seorang bekas pembantu kewangan sebuah syarikat swasta rebah dalam Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas satu daripada empat pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah keseluruhan RM677,629.
Tertuduh, Lee Lay Peng, 47, terpaksa dipapah keluar dari kandang tertuduh oleh dua pegawai polis wanita selepas pengakuan bersalah itu dibuat di hadapan Hakim Juraidah Abbas di Mahkamah Sesyen 1.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM219,885 ketika bertugas sebagai pembantu kewangan syarikat Bold Integrated Services Sdn Bhd.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara 13 Januari hingga 5 April 2020 di syarikat berkenaan di Jelutong di sini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen yang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain memohon mahkamah menetapkan syarat supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Juraidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April depan sebagai tarikh serahan dokumen serta lantikan peguam.
**media[3459650]**
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh turut mengaku bersalah atas tiga lagi pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM457,744 di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh yang bertugas sebagai pembantu kewangan syarikat sama didakwa melakukan pecah amanah wang syarikat antara 16 Jun 2017 hingga 27 Disember 2019 di premis syarikat berkenaan.
Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon tertuduh melapor diri di balai polis pada setiap awal bulan.
Bagaimanapun, tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia merupakan ibu tunggal yang perlu menyara dua anak berusia 17 dan 18 tahun yang masih bersekolah.
Tertuduh turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia sedang dalam proses menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah dengan pihak syarikat termasuk memulangkan semula wang yang telah diambil.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kesemua tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 14 April depan bagi tujuan menjatuhkan hukuman dan mendengar fakta kes.

