Suami pelakon didakwa tipu urusan gelaran ‘Datuk’, jual tanah kurnia tidak wujud

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 1:02 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Suami kepada seorang pelakon wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Seremban, hari ini atas dua tuduhan menipu bagi mendapatkan darjah kebesaran ‘Datuk’ dan geran tanah negeri Selangor yang tidak wujud.

Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Mohamad Kamil Nizam dan majistret Nurul Saqinah Rosli.

Berdasarkan pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat bayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang wanita berusia 35.

Ia bagi mendapatkan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak dipercayakan sedemikian.

Timbalan pendakwa raya Nadia Ezzati Mohd Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin selain isteri tertuduh, yang merupakan saksi pendakwaan dalam kes tersebut.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan isteri yang tidak bekerja selain menanggung sembilan anak.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport, melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak menghubungi saksi-saksi.

View this post on Instagram

A post shared by Scoopdotmy (@scoopdotmy)


Sementara di Mahkamah Majistret, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan memperdaya seorang lelaki berusia 49 tahun supaya membayar RM23,120 bagi mendapatkan gelaran 'Datuk' palsu.

Perbuatan itu itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Seremban 2 antara 22 Oktober hingga 9 November tahun lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dan 15 April untuk sebutan kes. - 11 Mac, 2026

The post Suami pelakon didakwa tipu urusan gelaran ‘Datuk’, jual tanah kurnia tidak wujud appeared first on Scoop.