KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas pembantu khas, Edmund Teoh Kheng Yaik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan menipu Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim berhubung sumbangan sekolah di bawah Projek Mesra Rakyat dan satu lagi menerima suapan RM500,000, dua tahun lalu.
Edmund, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
"Faham, tidak bersalah," katanya yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju kemeja putih.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memperdayakan Teresa untuk mempercayai bahawa hanya dua sekolah di parlimen berkenaan memohon sumbangan papan pintar interaktif sedangkan tertuduh tahu terdapat 16 sekolah lain memohon bantuan sama.
Dia dengan sengaja mendorong Teresa untuk bersetuju supaya tertuduh membuat permohonan sumbangan tersebut melalui sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh, sedangkan pemimpin DAP berusia 62 tahun itu tidak akan bersetuju sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh, di Jalan Kuchai Lama, di sini pada Jun 2024.
Bagi kesalahan menipu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman, penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia yang merupakan Pembantu Pejabat Ahli Parlimen Seputeh, didakwa menerima suapan wang tunai RM500,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun.
Ia sebagai upah, membantu mendapatkan sumbangan bagi pembekalan papan pintar interaktif dan peralatan berkaitan kepada 16 sekolah di parlimen itu, oleh syarikat TMT IT Solutions milik isteri lelaki berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Kuchai Lama di sini pada 12 Ogos 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaluddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin.
“Ia termasuk syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM dan tidak mengganggu saksi,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, MN Lo yang mewakili lelaki itu merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana anak guamnya telah memberi kerjasama yang baik ketika siasatan.
Beliau berkata, sebelum ini dia telah melaporkan diri sebanyak lapan kali di pejabat SPRM sekali gus menunjukkan anak guam tidak berisiko untuk melarikan diri.
“Dia kerja dengan salah sebuah syarikat p-hailing dengan pendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 sebulan.
“Anak guam hanya mampu membayar ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan bantuan rakan yang bertindak sebagai penjamin,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 3 Julai.
Pada Mac tahun lalu, SPRM menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung perolehan papan pintar berkenaan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.
Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan jam 9.30 malam pada 5 Mac tahun lalu ketika hadir memberi keterangan.
Menurutnya, ia berhubung kes membantu meluluskan permohonan dana projek mesra rakyat bernilai kira-kira RM1.5 juta.





