
KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang bekas pengarah besar sebuah badan berkanun bergelar Datuk kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.
Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an itu ditahan kira-kira 4 petang tadi ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Menurut sumber, mereka disyaki terlibat dalam salah guna kuasa berhubung pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di ibu negara, selain urusan penjualan tanah milik badan berkanun berkenaan.
"Kedua-dua individu itu disyaki terlibat dalam urusan penjualan tanah milik badan berkanun itu kepada syarikat yang ada kepentingan dengan syarikat pemaju tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah dan anak syarikat," katanya.
Kedua-duanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah reman.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.





