
PENAMPANG: Dua lelaki tempatan berusia 19 dan 28 tahun ditahan kerana disyaki menyamar sebagai pegawai penguat kuasa dan cuba memeras RM1,500 daripada seorang lelaki warga asing di Kampung Koidupan Sugud, di sini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.10 tengah malam apabila suspek yang memakai pakaian menyerupai pakaian agensi penguat kuasa menghampiri mangsa.
“Suspek dipercayai meminta mangsa mengemukakan dokumen pengenalan diri sebelum menuduhnya melakukan kesalahan kerana gagal menunjukkan pasport.
“Mereka juga didakwa meminta RM1,500 daripada mangsa untuk menyelesaikan kesalahan yang dikatakan itu,” katanya dalam kenyataan.
Sammy berkata, suspek cuba melarikan diri apabila diminta menunjukkan kad kuasa, namun ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis.
Polis kemudian merampas beberapa helai pakaian menyerupai pakaian seragam agensi penguat kuasa yang dipercayai dipakai suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pemerasan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam.
Seksyen 384 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.
Seksyen 170 pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.
Sammy menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila dihampiri individu yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai penguat kuasa dan segera melaporkan sebarang kejadian atau tingkah laku mencurigakan kepada polis.





