Bekas Pengarah Besar Felda Didakwa Perdaya Penukaran Hak Milik Tanah Di Jalan Semarak

LocalPolitics
30 Sep 2026 • 9:48 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Bekas Pengarah Besar Felda Didakwa Perdaya Penukaran Hak Milik Tanah Di Jalan Semarak

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Bekas Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya Lembaga Pengarah FELDA berhubung surat kuasa wakil bagi menukar hak milik 16 bidang tanah milik agensi itu di Jalan Semarak pada 2014.

Bagaimanapun, Datuk Faizoull Ahmad, 66, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Faizoull sebagai Pengarah Besar FELDA didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah dengan menyembunyikan fakta bahawa surat kuasa wakil bertarikh 3 Jun 2014 memberikan kuasa kepada Synergy Promenade Sdn Bhd untuk menukar hak milik 16 bidang tanah milik FELDA, yang terlibat dalam projek Cadangan Pembangunan Lot FELDA di Jalan Semarak.

Perbuatan itu mendorong Lembaga Pengarah FELDA bersetuju dengan surat kuasa tersebut yang mengakibatkan tanah-tanah kepunyaan FELDA ditukar hak milik kepada Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd dan Synergy Promenade Sdn Bhd, dengan Lembaga Pengarah berkenaan tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC di sini pada 2 Sept 2014 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin mengambil kira faktor kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

"Pihak kami juga memohon syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali sehingga kes selesai," katanya.

Peguam Datuk Sukri Mohamed yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah kira-kira RM30,000 atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan mempunyai empat anak yang masih belajar.

"Sebelum ini, pasport tertuduh telah ditahan selama empat tahun daripada Disember 2018 hingga Sept 2022 bagi dua pertuduhan lain, dan sepanjang tempoh ini, tiada keterangan menunjukkan bahawa beliau cuba melarikan diri dan tidak memberikan kerjasama," katanya yang turut memaklumkan anak guamnya telah direman selama lima hari bermula 6 Sept lepas.

Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 6 Nov ini untuk sebutan semula kes.

SPRM telah membuka enam kertas siasatan baharu berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Siasatan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) adalah sebahagian daripada tujuh kertas siasatan membabitkan FELDA dan FIC, termasuk satu siasatan lama.

Siasatan berkenaan memberikan tumpuan terhadap pembelian dan pelaburan aset oleh FELDA serta FIC antara 2010 hingga 2020, yang disyaki mempunyai unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Semalam, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) Mohd Zaid Abdul Jalil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan memperdayakan Lembaga Pengarah FIC berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi projek cadangan pembangunan komersial serta nilai harga pasaran bagi 24 tanah milik FELDA, 12 tahun lepas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved