
KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya Lembaga Pengarah Felda berhubung penukaran membabitkan 16 Lot tanah 12 tahun lalu.
Bagaimanapun Faizoull, 66, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Pengarah Besar Felda (jawatan ketika itu) telah memperdayakan Lembaga Pengarah Felda, iaitu dengan secara tidak jujur telah menyembunyikan fakta bahawa Power of Attorney (surat kuasa wakil) bertarikh 3 Jun 2014 memberikan kuasa kepada syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd. untuk menukar hak milik tanah-tanah kepunyaan Felda yang terlibat di dalam projek Cadangan Pembangunan Lot Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur iaitu membabitkan 16 Lot tanah.
Atas perdayaan tersebut tertuduh telah dengan secara tidak jujur mendorong Lembaga Pengarah Felda untuk bersetuju dengan Power of Attorney tersebut yang mengakibatkan tanah-tanah kepunyaan Felda tersebut ditukar hak milik kepada syarikat Synergy Promenade KLVC Sdn. Bhd. dan syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd., yang mana Lembaga Pengarah Felda tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga Menara Felda di sini pada 2 September 2014.
Justeru tertuduh telah melakukan suatu kesalahan menipu yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 berserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali sebulan.
Tarikh 6 November ini ditetapkan bagi sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan pengarah besar sebuah badan berkanun bergelar Datuk ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan projek selain urusan penjualan tanah.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dilapor berkata, penyiasatan khas berskala besar yang dinamakan sebagai OPS FELLA menumpukan kepada transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan Felda dan FIC dalam tempoh 10 tahun iaitu antara 2010 hingga 2020. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas Pengarah Felda nafi perdaya penukaran hak milik 16 geran tanah appeared first on Kosmo Online.






