Bekas pengarah DIDR berdepan 20 pertuduhan rasuah

LocalPolitics
12 Mar 2026 • 3:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kei Yue (depan) didakwa bersubahat dengan pelbagai penjawat awam dengan menerima barang berharga tanpa balasan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis.

KOTA KINABALU - Seorang bekas pengarah di sebuah jabatan kerajaan negeri mengaku tidak bersalah terhadap 20 pertuduhan bersubahat dengan penjawat awam menerima barang berharga tanpa balasan, di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis.

Tertuduh, bekas Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, Tseu Kei Yue, 58, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elsie Primus.

Menurut pertuduhan, Kei Yue didakwa bersubahat dengan pelbagai penjawat awam dengan menerima barang berharga seperti mesin basuh, telefon bimbit pintas, gitar bass, peralatan pejabat dan peralatan senaman daripada beberapa syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi mereka.

Nilai barang berbeza antara sekitar RM2,350 hingga RM7,100, manakala lokasi kejadian termasuk di kawasan Pusat Perindustrian Sri Inanam, kawasan bank di Inanam, Sandakan, Tawau dan Wisma Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu.

Kesemua pertuduhan adalah di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Seksyen 165 menetapkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dengan deposit RM10,000, selain syarat tambahan termasuk melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Kinabalu setiap dua bulan, menyerah pasport antarabangsa, dan tidak mendekati saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 24 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip dan manakala tertuduh diwakili peguamnya, Bartholomew Jingulam.