KOTA KINABALU - UMNO Sabah terbuka untuk menerima semula bekas ahli yang meninggalkan parti atau pernah dikenakan tindakan gantung keahlian selaras dengan keputusan pucuk pimpinan untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada mereka yang ingin kembali menyertai perjuangan UMNO.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, keputusan itu adalah dasar yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang baru selesai.
Menurutnya, UMNO Sabah turut menyokong pendekatan 'Rumah Bangsa' yang membuka peluang kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama parti.
"Di Sabah, kita tidak terkecuali menyokong dasar ini. Secara jujurnya, UMNO Sabah memang terbuka untuk menerima semula ahli yang pernah meninggalkan parti atau digantung keahlian.
"Cuma mereka perlu mengemukakan permohonan dan saya rasa kita tidak ada masalah untuk menerima semula mereka, asalkan ada hasrat untuk kembali dan menyokong perjuangan UMNO atau Barisan Nasional (BN)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa UMNO Sabah di Bangunan UMNO di sini pada Khamis.
Beliau sebelum itu diminta mengulas mengenai status dua ahli parlimen BN di Sabah yang digantung keahlian iaitu Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Jafry turut menyifatkan situasi politik di Sabah ketika ini berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang ketegangan.
"Kita tidak perlu bergaduh atau bertelagah. UMNO Sabah sentiasa terbuka terutama kepada bekas ahli atau pimpinan yang mahu kembali bersama parti.
"Namun, perkara itu tidak akan menjadi realiti jika hanya satu pihak sahaja yang mahu. Mereka perlu membuat permohonan mengikut prosedur, menyatakan hasrat untuk kembali dan barulah kita boleh memprosesnya," katanya.
Tambah beliau, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi meneliti permohonan kemasukan semula ahli.
"Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Datuk Seri Khalid Nordin yang akan membuat keputusan berkaitan permohonan tersebut," katanya.
Mengulas sama ada pendekatan itu merupakan strategi untuk mengekalkan kerusi UMNO menjelang Pilihan Raya Umum (PRU), Jafry berkata, langkah berkenaan bukan semata-mata bertujuan ke arah itu.
"Yang penting kita membuka ruang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk kembali bersama parti.
"Mungkin ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini merasakan diri terpinggir dan kepimpinan baharu UMNO Sabah terbuka untuk mereka kembali berjuang di bawah payung UMNO dan BN," katanya.

