liza05/01/2026 - 17:54 KUALA LUMPUR 5 Jan – Bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan London Biscuits Bhd Datuk Seri Liew Yew Chung mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini terhadap 11 pertuduhan menyebabkan kerugian kepada sebuah syarikat berjumlah lebih RM7 juta.
Liew, 56, yang pada masa kejadian merupakan pengarah syarikat tersenarai Khee San Bhd didakwa dengan sengaja menyebabkan kerugian kepada Khee San Food Industries Sdn Bhd dengan membatalkan 25 perjanjian hutang antara syarikat tersebut dan 11 individu, dengan jumlah keseluruhan RM7,119,465.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 2019 di Khee San Food Industries, Jalan Kolej, Seri Kembangan di bawah Subseksyen 317A(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671).
Ia membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Keith Loo memohon ikat jamin RM3 juta dengan dua penjamin serta syarat tambahan bahawa tertuduh mesti melapor diri ke pejabat SC setiap dua bulan sehingga kes selesai.
"Kesalahan di bawah subseksyen 317A Akta Pasaran Modal adalah kesalahan serius yang menjejaskan keyakinan pelabur dalam pasaran modal Malaysia.
“Oleh itu, kami memohon jumlah jaminan yang setimpal diberikan," kata beliau yang dibantu oleh pegawai pendakwa SC lain, Eunice Ong.
Peguam Shankar Govinth, yang mewakili Liew memohon jaminan yang lebih rendah kerana anak guamnya sebelum ini telah dituduh pada Mei 2025 di Mahkamah Sesyen yang sama dengan jaminan RM300,000 dan dua penjamin.
"Anak guam saya hadir ke mahkamah menggunakan kerusi roda dan memakai pendakap leher selepas menjalani tiga pembedahan tahun lepas.
“Beliau juga sedang menerima rawatan untuk depresi dan masalah saraf," katanya.
Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM80,000 dan seorang penjamin bagi semua kes, bersama syarat tambahan seperti yang diminta oleh pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 12 Mac 2026.
Pada 16 Mei 2025, Liew telah dituduh dengan 13 pertuduhan lain berkaitan dengan penyampaian penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd dan memalsukan rekod syarikat tersebut. -- BERNAMA


