Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah BNM didakwa bersubahat urus niaga sekuriti tanpa lesen

LocalPolitics
23 Feb 2026 • 12:27 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, bersama dua lagi individu, usahawan Datuk Mahadi Badrul Zaman dan Pengarah QEW Group Berhad Muhamad Iqbal Mohamad, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan berkaitan urus niaga sekuriti tanpa lesen sah.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SC, Shoba Venu Gobal, mencadangkan jaminan RM200,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SC dan menyerahkan pasport.

“Ini merupakan kesalahan serius yang berkaitan dengan bersubahat. Tertuduh merupakan wakil Energy Eco Berhad ketika kejadian,” katanya.

Peguam Mohd Haziq Razali memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000, dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sejak siasatan 2024. Mahkamah membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April untuk sebutan kes.

Di mahkamah berasingan, Mahadi, 43, suami kepada selebriti Datin Heliza Helmi, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen sebagai wakil AUF MBZ Consortium PLT.

Pegawai Pendakwa SC, Danial Imran Nasaruddin, mencadangkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin. Namun, peguam Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus memohon pengurangan atas alasan tiada risiko melarikan diri.

Hakim membenarkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan.

Dalam prosiding berasingan, Muhamad Iqbal, 47, turut didakwa bersubahat dengan AUF MBZ. Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan sama.

Mahkamah menetapkan 10 April depan untuk sebutan kes. - 23 Februari, 2026

The post Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah BNM didakwa bersubahat urus niaga sekuriti tanpa lesen appeared first on Scoop.