
TAWAU: Seorang bekas pengurus pemasaran di sebuah syarikat kelapa sawit di sini, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau pada Khamis atas 26 pertuduhan menipu membabitkan jumlah wang keseluruhan bernilai RM6.2 juta.
Mok Chuang Leon, 31, mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Menurut kesemua 26 pertuduhan itu, tertuduh yang merupakan bapa tunggal anak satu, didakwa dengan curangnya menipu dan memperdaya kerani syarikat untuk menyerahkan wang keseluruhan berjumlah RM6.2 juta dengan mengemukakan penyata bulanan jualan buah kelapa sawit yang tidak benar oleh Ample Agent dan Sawit Borneo Sdn Bhd.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Perdana Square Commercial Centre, Batu 3 1/2 Jalan Apas, di antara bulan Februari 2023 sehingga Februari 2024.
SPONSORED CONTENT Hajiji says young business professionals' inputs needed to develop Sabah Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said he welcomed inputs from young business professionals to assist in policy formulation. Read more Kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan disebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 8 dan 10 Oktober depan untuk pengurusan dan sebutan semula kes serta membenarkan jaminan RM4, 000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan dan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Tertuduh gagal membayar wang jaminan yang bernilai keseluruhan RM104,000.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa ASP Jeffrey Kadisun mencadangkan wang jaminan berjumlah RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan serta syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat, sekali setiap bulan.
Sementara itu, peguam Chen Wen Jye yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan RM8,000 bagi kesemua pertuduhan memandangkan anak guamnya tidak lagi bekerja sejak April tahun ini dan perlu menanggung seorang anak lelaki berumur lapan tahun.
Malah, katanya, tertuduh tidak mampu membayar wang jaminan dengan jumlah yang tinggi kerana dia bukanlah datang dari keluarga berada.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

