MELAKA - Seorang bekas pengurus pentadbiran sebuah anak syarikat kerajaan negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan empat tahun lalu.
Tertuduh, Erwan Abdul Aziz, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pengurus Pentadbiran Melaka Halal Hub Sdn Bhd (MHHSB) didakwa telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan komisen sebanyak RM1,096.57.
Perbuatan itu adalah sebagai balasan mencadangkan sebut harga syarikat milik isterinya yang dilantik sebagai ejen insurans untuk pembelian insurans kebakaran MHHSB dengan nilai premium RM7,310.48 bagi perlindungan bernilai RM6 juta.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan serupa dengan menerima suapan komisen sebanyak RM1,102.20.
Pertuduhan pertama dan kedua masing-masing dilakukan pada 27 September 2022 dan 27 September 2023 di daerah Jasin di sini.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syakila Yaacob bersama Noor Julieana Yahaya yang mencadangkan jaminan RM20,000 beserta syarat tambahan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ishak Kari yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan, termasuk hadir ke SPRM sejak Oktober lalu selain telah menyerahkan pasport.
Katanya, tertuduh kini bekerja sendiri, menanggung anak-anak yang masih bersekolah serta menjaga ibu yang menghidap kanser selain turut memikul tanggungjawab terhadap adik-beradik.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan menyerahkan pasport dan melapor diri ke SPRM secara berkala.
Mahkamah menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.






