
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Setiu pada Ahad, 11 April atas pertuduhan membuat laporan polis palsu terhadap usahawan, Datuk Azlan Al Amin atau nama sebenarnya Mohamad Azlan Abdullah @ Al berhubung dakwaan penipuan hartanah, lima tahun lalu.
Shahruldi Mahafiz Ramli, 53, yang juga seorang peniaga bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan maklumat secara bertulis yang diketahuinya palsu kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan dengan mendakwa Azlan Al Amin terlibat dalam penipuan urusan hartanah milik bapanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu sekitar jam 3 petang pada 4 September 2022 dengan niat supaya penjawat awam menggunakan kuasanya hingga boleh mendatangkan kegusaran kepada individu lain, lapor Sinar Harian.
Bagi kesalahan itu dia didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyim Irfan Baharuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Dia kemudiannya merayu agar jumlah jaminan dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan yang mana dia perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Mahkamah turut menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Memetik Malaysia Gazette, mahkamah sebelum ini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Shahruldi selepas dia gagal menghadirkan diri ke prosiding walaupun telah diarahkan.
Namun pada 11 April lalu, dia telah ditahan di Puchong lalu dibawa ke lokap IPD Setiu bagi tujuan pendakwaan yang berlangsung kelmarin.
Azlan pernah buat laporan polis terhadap individu buat laporan palsu terhadapnya
Sebagai info Azlan pada Disember 2025 pernah membuat satu laporan polis terhadap seorang individu yang disyaki membuat laporan palsu ke atasnya.
Azlan dalam masa sama turut menafikan dakwaan yang dia adalah seorang scammer sebaliknya perkara itu timbul disebabkan proses pemulangan wang pembatalan pembelian tanah yang mengambil sedikit masa.
Tegasnya tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu adalah tidak berasas dan turut merosakkan reputasinya. Malah dia menegaskan kelewatan pemulangan wang tunai kepada pelanggan adalah kerana ia membabitkan sejumlah wang yang besar dan proses perundangan serta perakaunan yang rumit.
“Tujuan saya adalah supaya orang ramai mampu memiliki hartanah sendiri dan bukannya menipu sesiapa. Dalam keadaan hari ini ramai yang mahu memiliki hartanah tetapi ragu-ragu akibat perbuatan fitnah individu yang tidak senang dengan kejayaan orang lain.
“Saya ingin tegaskan, saya bukan seorang scammer, dan perniagaan saya dijalankan secara sah serta mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya dipetik Berita Harian.


