Bekas pengurus Petronas jumpa pegawai kanan Petros sebelum temu duga - Saksi

LocalBusiness & Finance
24 Sep 2026 • 8:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bekas pengurus Petronas jumpa pegawai kanan Petros sebelum temu duga - Saksi
Mahkamah Sesyen pada Khamis diberitahu bekas Pengurus Petronas pernah bertemu dengan seorang pegawai kanan Petros di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) sebelum menghadiri temu duga di syarikat itu pada 2024. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen pada Khamis diberitahu bekas Pengurus Petronas, Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni pernah bertemu dengan seorang pegawai kanan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) sebelum menghadiri temu duga di syarikat itu pada 2024.

Saksi kelima pendakwaan, yang juga bekas pekerja Petronas dan kenalan rapat tertuduh, berkata pertemuan itu berlaku sebelum Mohd Khairul Akmal ditemu duga oleh Ketua Pegawai Kewangan Petros Mohd Azha Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Petros Datuk Janin Girie di Pejabat Petros di Kuching, Sarawak.

"Dia pernah berjumpa dengan Mohd Azha di KLGCC sebelum temu duga itu tetapi saya tidak pasti bila tarikhnya," kata saksi berkenaan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan pada perbicaraan kes Mohd Khairul Akmal, yang berdepan pertuduhan cuba mendedahkan maklumat rasmi atau sulit berkaitan satu laporan kepada Petros pada Jun 2024.

Saksi itu berkata, Mohd Khairul Akmal memohon jawatan sebagai Head of Upstream Finance di Petros pada 2024 ketika beliau memegang jawatan Manager Business Planning Performance Review (BPPR) Upstream di Petronas.

Ketika ditanya Noor Syafina sama ada kedua-dua jawatan memiliki persamaan dari segi skop tugas, saksi itu menjawab, "Ada yang sama".

Noor Syafina: Sepanjang pengetahuan anda, adakah anda tahu berapa tangga gaji untuk jawatan di Petros ini?

Saksi: Saya tak berapa ingat tapi dia pernah tanya saya juga berapa gaji yang patutnya dia minta, dan saya ada beri nasihat kepada dia… saya ada beri cadangan berapa dia patut minta daripada Petros pada masa itu.

Bagaimanapun, saksi itu berkata beliau tidak ingat cadangan yang diberikan.

Saksi itu berkata, berdasarkan Kod Etika Petronas, semua petugas perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu sebelum berkongsi sebarang maklumat sensitif seperti e-mel berkait dengan syarikat.

Mohd Khairul Akmal, 41, didakwa cuba mendedahkan maklumat berkaitan dokumen "Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial” kepada Petros, yang diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah kondominium di Jalan Pinang di sini antara jam 3.19 petang hingga 3.21 petang 8 Jun 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM1 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung esok. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved