Kereta api bawa bekas PM UK hampir jadi sasaran dron Russia

WorldPolitics
15 Sep 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kereta api bawa bekas PM UK hampir jadi sasaran dron Russia

KYIV: Sebuah dron Russia menyerang sebuah kereta api berhampiran sempadan Ukraine-Poland pada Ahad. Kejadian itu berlaku tidak lama selepas bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson dan pegawai kanan keselamatan Eropah melalui laluan sama dengan menaiki sebuah lagi kereta api.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan di Yahodyn itu yang mengenai enjin kereta api berkenaan,

Semua penumpang berjaya dipindahkan, menurut pihak berkuasa Ukraine.

Johnson dan beberapa penasihat keselamatan negara Eropah, termasuk Jonathan Po­well dari Britain menaiki kereta api yang berbeza.

Bagaimanapun, ia menggunakan  laluan kereta api  yang diserang dron itu.

Johnson dan beberapa penasihat kselamatan itu dalam perjalanan pulang dari sebuah persidangan di Kyiv.

Russia berkata, pihaknya menyasarkan ‘infrastruktur ke­reta api’ di barat Ukraine.

Namun, syarikat kereta api negara Ukraine, Ukrzaliznytsia berkata, besar kemungkinan sasaran dron itu adalah kereta api yang membawa delegasi diplomatik.

Bekas ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Petraeus, yang berada di dalam kereta api lain di stesen Yahodyn ketika serangan berlaku, menyifatkan kejadian itu sebagai ‘mengerikan’.

“Ini adalah tindakan pemimpin yang benar-benar kejam yang cuba menakut-nakutkan orang awam Ukraine,” katanya dalam temu bual dengan New York Times.

Dalam satu kenyataan, Ukrzaliznytsia berkata, kereta api diplomatik itu berlepas dari stesen lebih awal daripada jadual asal. Ia berlaku  berikutan perubahan jadual akibat ancaman berterusan serangan Russia.

Syarikat itu turut memaklum­kan arahan pemindahan pe­numpang dari kereta api yang diserang dikeluarkan hanya 15 minit sebelum serangan dron milik itu.

Pihak berkuasa Ukraine dan Poland berkata, dron Russia itu menyerang kira-kira dua  kilometer dari sempadan Poland. Kereta api berkenaan kemudian tiba dengan selamat di stesen sempadan Poland di Dorohusk.

Ukraine berulang kali menggesa sekutunya, terutama Amerika Syarikat (AS), supaya membekalkan lebih banyak peluru berpandu pemintas bagi melindungi negara itu daripada serangan harian Russia.

Serangan berkenaan semakin kerap menggunakan peluru berpandu balistik berkelajuan tinggi serta dron berkuasa jet. – BBC

The post Kereta api bawa bekas PM UK hampir jadi sasaran dron Russia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved