
BATU PAHAT – Seorang bekas anggota sebuah jabatan penguat kuasa kerajaan yang mempunyai 106 rekod jenayah dan dadah didakwa menjadi ‘pembantu’ kepada sindiket mencuri kenderaan pacuan empat roda (4×4) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohd Azri Mohd Kassim, 45, yang juga penganggur mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa mencuri sebuah Toyota Hilux milik sebuah syarikat di tempat letak kenderaan di Taman Ceria, di sini, kira-kira pukul 7.05 petang, 11 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga pekerja syarikat terbabit meletakkan Toyota Hilux berkenaan di belakang sebuah hotel sebelum pergi ke pasar bersama rakannya.
Bagaimanapun, selepas selesai membeli-belah dan kembali ke lokasi, pengadu terkejut apabila mendapati dua lelaki tidak dikenali berada di dalam kenderaan berkenaan.
Pengadu bersama rakannya kemudian berjaya menahan Mohd Azri, manakala seorang lagi suspek melarikan diri sebelum polis dihubungi untuk tindakan lanjut.
Siasatan mendapati tertuduh dan rakannya dipercayai menyasarkan Toyota Hilux sebelum kenderaan berkenaan dibawa ke sempadan untuk dijual.
Lebih mengejutkan, semakan mendapati tertuduh mempunyai 106 rekod jenayah dan dadah, termasuk kesalahan berkaitan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang.
Tertuduh juga dipercayai baru beberapa hari direkrut oleh dalang utama sindiket berkenaan untuk membantu kegiatan mencuri kenderaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Mehnagha Luckhmana.
Mahkamah tidak membenarkan tawaran ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE
The post Bekas penjawat awam ada 106 rekod jadi ‘pembantu’ sindiket curi Hilux appeared first on Kosmo Digital.






