Bekas penyelia kilang direman 6 hari, disyaki peras ugut pekerja asing

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 1:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek tiba di Mahkamah Majistret bagi permohonan reman pada Jumaat.

AYER KEROH - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas penyelia kilang direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah dianggarkan RM25,000 daripada pekerja asing di bawah seliaannya.

Perintah reman sehingga 29 April itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Jumaat.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40an itu ditahan sekitar jam 12.20 tengah hari Khamis lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2025 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada 31 pekerja di bawah seliaannya.

“Wang rasuah itu dipercayai diterima secara tunai dan bayaran bulanan antara RM25 hingga RM200 sebagai balasan untuk menyokong serta memberi kebenaran bekerja lebih masa,” katanya.

Katanya, suspek juga dipercayai mengugut pekerja warga asing terbabit dengan tidak menyokong serta tidak memberi kebenaran bekerja lebih masa sekiranya permintaannya tidak dipenuhi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved