
KUALA LUMPUR - Bekas perdana menteri yang telah berkhidmat selama 10 tahun tidak layak untuk dilantik semula jika Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan mengehadkan tempoh jawatan diluluskan oleh Dewan Rakyat dan digubal.
Mengesahkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU berkenaan menetapkan had jumlah tahun perkhidmatan bagi mana-mana perdana menteri, bukan berdasarkan kepada tempoh parlimen.
Menurut beliau, pelaksanaan RUU tersebut turut mengambil kira jumlah tahun sepanjang mereka pernah menyandang jawatan terbabit.
“Apa yang telah kami sertakan dalam pindaan perlembagaan ini juga mengambil kira tahun-tahun yang mereka telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
“Ia bermakna ia dikira secara retrospektif. Jadi, Perdana Menteri semasa, kata PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), jika beliau memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 dan ingin berkhidmat semula, beliau boleh berbuat demikian.
“Tetapi jika kita kira mengikut tahun, beliau hanya mempunyai baki tujuh tahun, bukan 10 tahun penuh lagi. Mungkin Tan Sri Muhyiddin (Yasin), jika beliau menjadi Perdana Menteri sekali lagi kerana menang, mungkin mempunyai baki lapan tahun. Kemudian Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mungkin mempunyai baki sembilan tahun,” katanya.
Azalina menyatakan demikian pada sidang media selepas sesi taklimat RUU terbabit di Dewan Serbaguna Parlimen di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pindaan terlibat memenuhi komitmen manifesto daripada pilihan raya umum sebelumnya.
Katanya, mana-mana kerajaan masa depan dengan majoriti dua pertiga parlimen boleh menyemak semula peraturan tersebut.
“Perlembagaan boleh dipinda. Kerajaan seterusnya dengan majoriti dua pertiga boleh meminda undang-undang. Malah, tempoh jawatan juga boleh diubah sekali lagi jika mereka mahu Perdana Menteri semasa kekal selama-lamanya.
“Jika anda mempunyai dua pertiga atau lebih sokongan di Parlimen, anda boleh melakukan apa sahaja terhadap Perlembagaan. Apa yang kami lakukan, bersama rakan gabungan, adalah menyampaikan kepada rakyat apa yang kami janjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.
“Dalam manifesto itu, sesetengah parti mencadangkan dua penggal, ada yang mencadangkan sepuluh tahun. Pada asasnya, kerajaan sedang melaksanakan apa yang telah dijanjikan. Tetapi kerajaan masa depan dengan majoriti baharu masih boleh mengubahnya. Itu sepenuhnya hak prerogatif mereka,” katanya.
Beliau menarik perhatian, pindaan berkenaan bagaimanapun hanya terpakai kepada jawatan Perdana Menteri.
“Ia tidak menjejaskan jawatan ketua menteri atau menteri besar negeri, yang kekal di bawah bidang kuasa negeri,” katanya. - Getaran, 23 Februari 2026
