Hadkan tempoh jawatan PM bermula dengan saya: Anwar

LocalPolitics
20 Feb 2026 • 3:44 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan undang-undang untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun akan bermula dengan dirinya terlebih dahulu.

"Ya, dia bermula daripada sayalah. Maknanya, jangan saya buat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai untuk saya dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheding di Banting, hari ini.

Anwar turut memberitahu, jika ada konsensus majoriti Ahli Parlimen maka ia boleh diluluskan dalam sidang akan datang.

"Sesiapa yang ingin berkhidmat kepada negara dengan ikhlas akan mendapati 10 tahun adalah mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

"Selepas itu, jawatan itu wajar dibuka kepada rakan-rakan lain untuk meneruskan khidmat," katanya.

Pada 5 Januari lalu, Anwar berkata, pemisahan kuasa pendakwa raya dan Peguam Negara adalah undang-undang pertama yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen, bermula 19 Januari.

RUU berkenaan, ujar Anwar merupakan sebahagian langkah pembaharuan institusi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan RUU mengenai Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri akan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Jelasnya, bagi pembentangan RUU Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, Azalina berkata tempoh perkhidmatan perdana menteri akan dikira secara terkumpul sepanjang hayat perkhidmatan, sama ada secara berturutan atau tidak.

Menurut Azalina, apabila Perdana Menteri terhenti memegang jawatan kerana sampai tempoh agregat 10 tahun, anggota jemaah menteri juga turut terhenti memegang jawatan.

Azalina berkata tempoh peralihan kuasa kepada Perdana Menteri baharu turut diperuntukkan dalam RUU berkenaan.

“Dalam tempoh peralihan sehingga Perdana Menteri baharu dilantik mengikut Fasal 2(a) Perkara 43, Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri yang terhenti memegang jawatan akan melaksanakan tugas-tugas terhad berkaitan dengan pentadbiran harian kerajaan sahaja,” katanya. - 20 Februari, 2026

The post Hadkan tempoh jawatan PM bermula dengan saya: Anwar appeared first on Scoop.