Bekas Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad Muncul Dalam Video, Dakwaan Kematian Disangkal

WorldPolitics
6 Mar 2026 • 7:15 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

TEHRAN – Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, disahkan masih hidup selepas sebuah video baharu yang memaparkan beliau mula tersebar di beberapa saluran Telegram Iran, sekali gus menafikan khabar angin mengenai kematiannya yang tular sejak beberapa hari lalu.

Sebelum ini, pelbagai laporan tidak disahkan di media sosial mendakwa Ahmadinejad terbunuh dalam serangan yang dikaitkan dengan konflik memuncak antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat.

Namun, menurut laporan media antarabangsa, sebuah video yang baru dikongsi menunjukkan Ahmadinejad berada dalam keadaan selamat. Bagaimanapun, setakat ini masih belum dapat dipastikan bila dan di mana rakaman video tersebut dibuat.

Ahmadinejad Dilapor Berada Di Lokasi Lain Ketika Serangan

Laporan turut memetik sumber rapat bekas pemimpin itu yang memaklumkan bahawa Ahmadinejad, 69, berada di lokasi lain ketika serangan berlaku di Teheran pada hujung minggu lalu.

Menurut sumber tersebut, tiga pengawal peribadi Ahmadinejad dilaporkan terkorban dalam serangan berkenaan.

“Namun kediaman peribadinya tidak terjejas kerana bangunan yang disasarkan terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya,” jelas sumber itu lagi.

Keluarga Turut Nafi Laporan Kematian

Terdahulu, keluarga Ahmadinejad turut tampil menafikan laporan yang mendakwa beliau telah meninggal dunia.

Untuk rekod, Ahmadinejad pernah memegang jawatan Presiden Iran dari tahun 2005 hingga 2013 dan merupakan antara tokoh politik yang sering mencetuskan kontroversi di pentas antarabangsa. – The Malaysian Update