Bekas Staf Rocketfuel Didakwa Seleweng RM28,000, Hael Husaini Hadir Sebagai Saksi

16 Jun 2025 • 1:52 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Syarikat pengurusan hiburan, Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd., hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes saman terhadap seorang bekas kakitangannya yang didakwa menyeleweng wang berjumlah RM28,000.
 

Kes saman bekas kakitangan


Menurut Naib Presiden Rocketfuel, Prem Rajahram Anand, wang tersebut sepatutnya diterima hasil daripada persembahan penyanyi Hael Husaini, namun didakwa disalah guna individu berkenaan.



“Pada pertengahan tahun lalu, kami telah membuat satu laporan polis terhadap seorang bekas pekerja yang disyaki menyeleweng sejumlah wang daripada tawaran persembahan yang dipersembahkan oleh Hael.



“Kami telah memberi tempoh selama dua minggu untuk individu terbabit melunaskan bayaran tersebut, namun gagal. Akhirnya, dia memilih untuk menyelesaikan perkara ini melalui proses undang-undang,” katanya kepada media ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. 


 

Hael hadir sebagai saksi

Hael yang turut hadir ke mahkamah sebagai saksi pula enggan mengulas lebih lanjut dan menyerahkan segala keputusan kepada pihak mahkamah. 

“Saya tak boleh nak ulas banyak kerana kes ini melibatkan syarikat saya dan saya terikat dengan Rocketfuel jadi ini adalah antara syarikat dan individu itu. 

“Saya rasa kena tunggu keputusan dan apa-apa yang terjadi kita akan jadikan iktibar lah kepada semua,” ujarnya. 


Prem turut memaklumkan bahawa sebutan kes pertama telah berlangsung pada November 2024. 


Kemudian, perbicaraan kes diteruskan hari ini dan akan bersambung dengan prosiding seterusnya yang dijadualkan pada pukul 2 petang ini. 



Turut hadir, peguam yang mewakili Rocketfuel Entertainment iaitu Narainasami SM Alagu dan Ketua Music dan Kandungan Rocketfuel Entertainment Syakireen Othman.