
PETALING JAYA – “Hal Melayu Islam nak dicampuri, urusan negeri orang pun nak diatur. Pandai-pandailah baca keadaan. Kalau setiap kali masuk campur, orang makin menyampah dan makin menjauh. Mungkin sudah tiba masa untuk belajar jaga urusan sendiri.”
Demikian bidas Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman selepas Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mempersoal arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berhubung penutupan operasi premis perniagaan selama dua jam setiap hari Jumaat.
Young Syefura menerusi hantaran di Threads berkata, Poay Tiong tidak sepatutnya mencampuri urusan berkaitan Melayu dan Islam, selain cuba mengatur pentadbiran negeri lain.
Terdahulu, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka membangkitkan kebimbangan mengenai arahan penutupan premis antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap hari Jumaat.
Beliau mendakwa, pelaksanaan peraturan secara menyeluruh boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.
Poay Tiong turut mengaitkan arahan berkenaan dengan pendekatan dasar agama konservatif dalam pentadbiran awam serta kepemimpinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Mereka yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, dipenjara selama setahun atau kedua-duanya. Selain itu, majlis bandar raya mempunyai kuasa untuk menarik balik lesen perniagaan dan memerintahkan penutupan kedai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Bagaimanapun, MBKT ketika menjelaskan pelaksanaan arahan sama pada Januari 2024 memaklumkan ia membabitkan pasar raya, restoran, kedai makan dan gerai makanan milik orang Islam.
Premis makanan milik bukan Islam dibenarkan beroperasi seperti biasa, kecuali jika mempunyai pekerja Islam, manakala kelonggaran boleh dipohon bagi premis yang diuruskan pekerja wanita.
Arahan penutupan operasi selama dua jam itu dilaksanakan bagi memberi ruang kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.
The post ‘Belajar jaga urusan sendiri’ – Young Syefura tegur MP Kota Melaka appeared first on Utusan Malaysia.



